Menjadi seorang guru atau pendidik bukanlah satu tugas yang mudah seperti yang diungkapkan. Menjadi seorang pendidik bermakna seseorang itu telah mengambil alih tanggungjawab yang amat besar menggantikan ibu dan bapa kepada setiap pelajar. Tugas yang mencabar seperti inilah yang banyak melahirkan pelajar yang cemerlang dan berdedikasi mencapai cita-cita. Pelajar diibaratkan seperti kain putih dan gurulah yang berhak mencorakkan pelajar tersebut dalam mendidik mereka sehingga berjaya. Menjadi satu kepuasan yang tidak terhingga tatkala mengetahui setiap pelajar didikannya telah berjaya memperolehi keputusan yang cemerlang dan setanding dengan pelajar pandai yang lain. Guru juga harus peka dengan perkembangan semasa kerana masyarakat kini lebih mementingkan nilai-nilai akhlak dan sahsiah dalam kehidupan. Seseorang guru itu juga perlulah mempunyai sahsiah yang baik dan unggul untuk menjadi model kepada setiap pelajarnya. Setiap model itu akan mempunyai pengikutnya yang tersendiri. Jika guru itu tidak bersahsiah maka pelajarnya juga akan mengikuti jejak langkah guru tersebut dan jika guru itu mempunyai sahsiah yang baik dan berakhlak maka pelajarnya juga akan berakhlak baik. Pandangan pertama pelajar kepada guru itu amatlah penting bukan sahaja untuk menarik minat mereka untuk belajar bahkan untuk menarik minat mereka berakhlak baik dan berdisiplin.
No comments:
Post a Comment