Tuesday, April 15, 2014

PEMBUKA KATA

     Guru merupakan satu profesion yang sangat mulia dan penting dalam pembangunan manusia. Sehingga kini, profesion guru sangat diperlukan di mana sahaja tidak kira di bandar mahupun di luar bandar. Perkataan 'guru' bukan sahaja digunapakai di sekolah sahaja, malah pensyarah di institusi pengajian tinggi juga merupakan guru yakni tenaga pengajar yang di pertanggungjawabkan dalam mendidik generasi muda sehingga tua. Pada zaman kini profession guru semakin mencabar dan memerlukan banyak kesabaran dalam menjalankan tanggungjawab tersebut. Selain dari mendidik pelajar, guru juga dibaratkan seperti ibu dan bapa dimana guru juga perlu tahu akan segala masalah yang melanda pelajarnya. Menjadi seorang guru bukanlah mudah seperti yang diucapkan dibibir sahaja ini kerana apabila seseorang guru bersedia dengan tanggungjawab yang diterimanya maka guru tersebut juga perlu bersedia dari segi mental dan fizikalnya untuk berhadapan dengan pelajar yang mempunyai pelbagai ragam.



     Guru memainkan peranan yang penting dalam membentuk sahsiah pelajar. Guru yang baik adalah guru yang mampu membentuk nilai-nilai murni dan sifat saling hormat-menghormati dalam diri pelajar tanpa mengira agama dan bangsa. Oleh itu, personaliti guru mencerminkan segala-galanya. Guru pada hari ini mempunyai pelbagai cabaran dalam mendidik anak bangsa. Di dalam kelas, guru perlu berdepan dengan pelbagai pelajar yang mempunyai pelbagai karenah. Di dalam situasi sesebuah kelas, seseorang guru yang hebat mampu menarik pelajar untuk mendengar apa yang diajarnya, dapat menarik pelajar memberi tumpuan yang sepenuhnya dalam aktiviti pembelajaran. Hal ini dapat dikaitkan dengan beberapa ciri-ciri yang terdapat pada guru.

No comments:

Post a Comment